Friday, November 8, 2013

CINTA HILANG KATA 6


CINTA HILANG KATA 6LOVE YOU IN SILENCE


Zaili & Sabirah



Sepotong hati nan hitam, sehiris daging bernanah, segenggam dendam. Hati berbisik, jiwa meronta, tidak mampu menahan rasa iri. Tidak dapat dibenam rasa hasad. Kalaulah hari ini bulan penuh, Khamis malam Jumaat, mahu aku cucuk jarum pada nama perempuan berlagak tu! Kalaulah sekarang ni emak ada, mahu aku pujuk emak suruh seru nama dia! Biar terlepek, muka lebam hitam pergi kuliah! Biar orang pandang jijik. Biar orang geli lagi gerun tengok dia!

Argghhh... Bencinya aku!!! Kenapalah perempuan yang seorang itu buat semua senior lelaki tertoleh! Asal dia lalu, ada saja yang bersiul! Mesti perasan tak sudah! Muka bukannya lawa mana! Berangan-angan macam Jlo lah tu dengan bedak kilat dia tu! Menulis pun takat sebiji dua novel cinta, perasan macam dah dapat anugerah sastera! Buweekkk!!!

Sabirah mengetap-ngetap bibirnya. Dada berombak kencang. Rasa benci yang keterlaluan terhadap Nurul Masmin dan kroni-kroninya Ezra serta Che Wanie ada ketika membuatnya sakit kepala.

Tidak tahu di mana puncanya, setiap kali ada kuliah atau tutorial, dia tidak mampu menahan gelodak rasa mahu mengamati Nurul Masmin dari sudut tertentu. Rasa benci memuncak apabila gadis itu selalu dipuji hanya kerana pengalamannya berkarya.

“Dah tak suka buat apa duduk menghadap dekat dengan dia?”
“Saja!”
“Lepas tu sendiri meroyan! Benci tapi nak jugak ambil tahu!”
“Zaili diam boleh tak? Suka hati Biralah nak duduk depan dia ke, nak pandang muka dia ke.... nak kira jerawat dia ke?” Terherot-herot bibirnya menegakkan pendapat. Mana boleh kalah!
“Masalah betullah orang perempuan ni! Benci tapi masih nak busy body!”

“Alah, Zaili pun sama kan? Zaili pun jaki kan dengan dia? Zaili yang awal-awal bisikkan kat Birah pasal si Nurul tu kan... Zaili yang kata minah tu muka kekwat! Perasan penulis sejak sekolah!”

“Memanglah.... Tapi kita kenalah pandai cover line! Tak suka pun kenalah sesekali tunjuk plastik. Lepas tu baru kita ganyang dia!”

Terdiam seketika Sabirah. Dia yang sedang menekuni nota kuliah subjek penerbitan teruja dan kembali bersemangat dengan kata-kata abang kembarnya itu.

“Okay... just wait and see! New star is born.... Ketepi kau Nurul Masmin! Nantilah!!” Terangkat kening Sabirah apabila azamnya itu turut disambut dengan anggukan dari abangnya. Cerah kembali mukanya yang melekit dengan bedak yang berkilat-kilat itu.

“Alah, bukan susah nak jadi star kat kampus.... macam Birah tak biasa!”

Sabirah mengenyit mata bangga apabila diusik Zaili. Lega! Kalau Zaili menyokong kehendaknya, itu cukup menyakinkan. Ya, dia tahu Zaili akan buat apa saja untuk dirinya.

“Kawan-kawan si Nurul tu pun semacam ya? Macam perasan bagus! Ikutkan hati semua kawan dia tu nak dibuat biar panas meggelupur dalam kuliah! Biar langau sama lalat hijau hurung. Biar rasa benci aje kalau orang pandang dia!” Sabirah tidak segan-silu lagi meluahkan hajat hati.

“Birah, hilang akal apa nak buat macam tu?” Zaili terlopong. Oh, adik kembarnya ini masih belum dapat mengawal rasa dengki. Inilah payahnya kalau sudah perangai anak bongsu perempuan. Segala kemahuan sejak kecil tidak pernah ada siapa yang membangkang.

“Alah, biarlah depa tu rasakan! Kalau dapat biar apa pun minah tu tulis orang tak suka nak baca! Novel dia tu semua dapat badi. Tak laku. Orang macam tak nampak apa dia buat, apa dia tulis! Baru dia tahu langit tinggi rendah!” Menjungkit tinggi muncung Sabirah melampiaskan hasrat.

“Birah jangan buat main-main benda ni. Kita baru aje dekat sini. Jangan cari pasal pulak. Karang tak pasal-pasal satu kampus tahu kita ni anak Mahyun Bukit Bening. Sudah-sudahlah tu! Buat apa nak menurunkan ilmu mak kat sini! Marah sikit-sikit sudahlah!” Zaili cuba memenangkan adiknya itu. Cuak juga rasa hati melihat muka merah dan mata bulat membutang Sabirah yang sedang mengumpul amarah.

Mata Zaili meliar pandang kiri kanan. Mujur wakaf tempat mereka menyinggah itu jauh dari orang ramai. Haish, buat malu kalau ada yang terdengar perbualan mereka itu.

Dia tahu sangat. Sabirah kalau sudah angin satu badan, tidak peduli apa pun! Lagi parah kalau Sabirah tiba-tiba mengadu pada emak. Macam selalu, emak pantang dicuit. Jangan siapa pun kacau anak perempuannya, cepat saja dia bertindak.

“Abang perasan tak satu benda?” Soal Sabirah dengan muka yang mencuka.
“Apa dia?”
“Betina tu?”
“Yang mana satu?”
“Si Nurul tu.”
“Kenapa?”

“Sejak dulu. Sebelum kita jumpa dia kat sini. Dia tu memang siallah! Nama dia aje yang potong line Birah. Zaman Birah suka hantar cerpen dulu, semedang tak tersiar. Sebab apa? Asyik dia aje yang terpilih untuk kolum tu. Asal ada ruangan karya, dia aje yang bolot! Memang puakalah betina tu. Macam tak ada manusia lain yang boleh menulis. Memang sebelum jumpa kat sini, dia tu memang dah menyusahkan Birah.” Sabirah sudah hilang sabar. Sudah bertahun-tahun dia menyimpan amarah pada nama Nurul Masmin. Tidak terduga akan satu kampus akhirnya.

“Jangan fikir sangatlah benda-benda macam ni! Kerja kita banyak lagi tak siap!” Zaili mengalihkan topik perbualan. Memang masih bertimbun tugasan yang perlu diselesaikan. Biarpun baru bermula kuliah, semua pensyarah sangat gigih memberi tugasan.

“Zaili.... Nanti masa presentation kita untuk paper Dr Sidin macam mana?” Sabirah mula merengek lewat petang itu. Hati terbakar, kepalanya pula sudah cukup panas memikirkan kuliah subjek penerbitan tengah hari esok. Rasa macam tidak sempat hendak sediakan yang terbaik.

“Ni Zaili tengah usahalah ni... Birah tolong buat pembentangannya. Biar konsep cover sama lay out dalam Zaili yang cari.” Seperti biasa Zaili selalu lebih tenang daripada adiknya. Zaili leka menghadap komputer ribanya. Sudah dua jam sebenarnya sejak selesai kuliah Falsafah Agung, dia tidak berganjak dari komputer.

“Nak taip apa untuk pembentangan. Idea pun tak ada! Macam mana ni? Dahlah Dr Sidin tu suka menjerkah orang!” Gadis yang memang pemalas itu dan terlalu bergantung pada abangnya hanya tahu merungut.
“Dr Sidin nak kita present cover buku kan. Ala-ala yang ikut taste ramai...”

“Betul. Tapi mana sempat nak buat... Mana nak buat report lagi!”
“Cuba diam sekejap. Ni Zaili tengah nak buat magiklah ni! Hahahah ingat mak aje pandai black magik....” Zaili tetap tidak berganjak dari komputer ribanya. Sabirah berkerut. Dia menjengah ke skrin abangnya.

“Hei, ni minah tu punya cover novel kan?”
“Hah!”
“Buat apa?”
“Alah, kita adjustlah dari cover dia! Bukan cantik sangat pun dia punya!”
“Eh, boleh ke?”
“Siapa pulak kata tak boleh! Nasiblah! Nak hidup mestilah cekap, tangkas, pantas!”
“Wah!! Okay! Okay! Hahahah! esok dalam pembentangan, kita kasi bom sama dia! Harus terkedu minah tu!”

“Alah, ini takat dalam kuliah. Bukan dalam bisnes pun.... Kalau kita tiru pun takkan dia nak saman kita! Alah takat penulis bilis macam si Nurul Masmin tu, tak ada bendalah!”

Dua beradik kembar itu terus tertawa besar. Angin petang bertiup semakin kencang. Sesekali langit disergah dengan bunyi guruh yang bertingkah. Zaili pantas menyimpan fail gambar cover buku yang telah dia edit. Cover itu asalnya adalah cover novel Nurul Masmin sebenarnya.

Ah, aku peduli apa! Aku ubah ikut idea aku! Aku adjust ikut selera dan hujah aku! Bukan aku ambil sebiji-sebiji pun kau punya! Dunia ilham tiada sempadan! Zaili angkat kening memandang Sabirah. Gadis itu tersenyum lebar. Hahaha! Tak sabar mahu tunggu esok!

No comments:

ShareThis