Wednesday, December 18, 2013

CATATAN HUJUNG TAHUN - Terima kasih semua:))

TERIMA kasih! Salam subuh:)) Saya terkejut membaca catatan/pm yang ditinggalkan di fb. Sangat banyak. Terima kasih, maaf dan jangan kecil hati kalau saya tak sempat balas. Saya berkongsi kisah sekadar niat, untuk saling meminjam pengalaman. Macam saya, tiada pengalaman menjaga orang dibedah. Dalam keluarga saya sepanjang hayat kami tidak pernah berdepan dengan pembedahan. Allah beri saya anak yang dua kali dibedah serentak dalam tempoh dua minggu. Tak ada pengalaman perihal appendiks, sejak jam dua pagi Adib di bilik kecemasan pada 29 Disember, saya google segala perihal appendiks. Dan Allah beri anak saya sakit appendiks yang kronik. Saya anggap ini pengalaman. Ya, macam kanda Amaruszati Noor Rahim kata, insyaAllah ini memberi ilham berkarya akan datang.

Saya mencatat setiap rasa dan pengamatan saya di blog dan fb, sekadar untuk berkongsi kisah pada siapa yang sudi baca, untuk rekod peribadi saya dan tentunya untuk Adib baca sewaktu dia sihat kelak. Saya berterima kasih sesangat pada yang memberi bahu dan semangat melalui catatan untuk saya di sini. Juga pada yang klik like. Maaf juta juta kali kalau saya tak sempat balas satu demi satu. Setiap pagi saya akan bangun jam 4 pagi atau kekadang jam tiga, untuk bersiap ke Hospital Pantai. Ada waktu saya tak balik rumah langsung atau saya balik lewat malam. Ulang alik rumah saya ke hospital sekitar 100 km saya anggar. Alhamdulilah, saya masih tak demam, sakit atau mahu rebah. Saya harus bersyukur untuk itu.


Appendiks yang kronik, yang berkumpul air hijaunya di perut tanpa disalurkan tiub untuk dikeluarkan, tanpa diberi antibiotik semaksimum yang mungkin melalui drip, tanpa pemeriksaan darah di makmal untuk lihat kadar kuman yang ada (bacaan kuman tinggi dan dibenarkan keluar wad), biar telah dibedah memang boleh bawa maut. Semua perkataan TANPA itu berlaku pada Adib selepas pembedahan pertamanya. Tak apa, saya reda.



Di tangan doktor kedua Adib, Dr Zain, saya sangat bersyukur. Sepanjang memandu selalu saya fikir macam-macam. Ya, saya hampir hilang Adib. Senang kata, siapa tengok dia selepas pembedahan pertama, selepas hanya dibekalkan panadol aje, akan terdetik, anak saya macam tak lama. Apatah lagi waktu itu sudah muntah sehari hampir 15 kali dan semua airnya hijau dari hempedu. Kalau minum secawan, muntahnya mungkin satu beg plastik kecil. Perutnya bengkak dan dia tidak makan minum berhari-hari.



Alhamdulillah, saya diberi kekuatan menjaga dia. Saya anggap setiap kejadian ini, peluang untuk saya tunjuk pada Adib, secara sentuhan, jagaan, apa saja, yang dia tetap 'anak kecil' saya. Umpama qada' segala jagaan, perhatian atau curahan kasih yang dia hilang dan tak dapat dari saya. sepanjang waktu dia di SABDA. Alhamdulillah... syukur saya, biar harus berkejar ke sana ke mari, urusan Anis, Haiqal, rumah, menjaga si kecil Airis Cempaka, saya masih diberi kesihatan yang baik. Terima kasih semua atas doa dan ingatan:)) Semoga kita semua dilimpahi kebaikan dan perkara yang lebih indah menjelang 2014. Salam subuh semua!


2 comments:

timm_bill said...

xsngka truk jugk yer klu kena apendiks..semoga akak tabah yer..

Miss KiLa said...

Berbeza wajahnya. Penat agaknya badan menangung sakit. Tabah adib.

ShareThis