Sunday, December 16, 2012

TERIMA kasih Anakanda M FARIDZUAN untuk review yang manis ini....


TERIMA KASIH BUAT anakanda M FARIDZUAN MAJID tuan punya blog http://elementofmonster.blogspot.com

Serius saya sangat terharu. Tq dear... Auntie tak sangka Farid sanggup ambil foto yang cantik ini dah kongsi di FB auntie, kongsi di blog dan bersusah payah untuk siap review novel kecil ini. Mudah-mudahan anakanda M Faridzuan sukses dalam pelajaran ya! Saya kongsikan di sini tanda penghargaan saya pada anakanda ini.




Saya jarang menulis tentang ulasan novel di blog. Jadi saya ambil kesempatan yang ada ini untuk mengulas sebuah novel yang bertajuk Awak Semanis Red Velvet nukilan auntie Lily Haslina Nasir. Mengapa panggil auntie? Kerana auntie Lily yang suruh saya panggil namanya begitu. Hehe. Dan dia pula selalu panggil saya dengan gelaran anakanda, walaupun saya bukan anak kandungnya. Atau saya akan menjadi bakal menantunya. Eh.


Tajuk : Awak Semanis Red Velvet
Penulis : Lily Haslina Nasir
Terbitan : PTS Litera Utama (Syok Hallyu Wave)
Harga : RM 17.50 (Semenanjung Malaysia), RM 19.50 (Pulau Borneo)
Jumlah muka surat : 360
Genre : Korean Hallyu wave, Chiclit, Komedi romantis, Awal dewasa, Remaja Umum

First impression
Cute. Kaver novel yang segar dan comel itu bisa membuatkan sesiapa sahaja tertarik untuk membelinya. Gandingan ilustrasi hero dan heroinnya turut membuatkan gadis-gadis menjerit-jerit untuk memilikinya. Syabas diucapkan kepada pelukis vektor iaitu Kak Rose Harissa yang juga merupakan seorang novelis prolifik, serta pereka kulit PTS yang tidak asing lagi, Ney Joehan (juga penulis novel yang aktif) kerana berjaya menKOREAkan kulit buku ini. Memang sesuailah dengan konsep terbaru Hallyu wave yang diperkenalkan oleh PTS Litera Utama pada tahun ini. Sebuah genre baru yang menerbitkan novel ala-ala drama Kpop tetapi masih syariah compliant.

Review ringkas
Novel ini mengisahkan Izzul Iskandar, seorang chef pastri dan kek yang hensem, tegap, rambut terpacak dan segak, yang terpaksa bekerjasama dengan perancang perkahwinan, iaitu Aireen yang manis tetapi cerewet. Ingin saya katakan ketika saya membaca novel ini, saya berasa sungguh teruja untuk mengetahui bidang tugas yang dilakukan oleh perancang perkahwinan seperti Aireen. Yalah, perancang perkahwinan seperti Aireen perlu berdepan dengan bermacam ragam pelanggan yang sudah semestinya lebih cerewet berbanding Aireen sendiri. Bagi saya kerjaya sebegitu sangat glamor, kerana kita akan sering berurusan dengan orang-orang ternama, apatah lagi selebriti yang mahukan khidmat perancang perkahwinan yang tip-top!

Mahu tahu bagaimana Aireen dan Chef Izzul bertemu? Kenalah baca novel itu sendiri. Okey, saya bagi klu sedikit. Red Velvet. Sudah nama tajuknya Awak Semanis Red Velvet, jadi sudah pasti ada kena mengena dengan kuih baldu merah yang sememangnya manis apatah lagi jika menggunakan topping krim keju! Perkara wajib bagi pelanggan Aireen ialah kek. Rata-rata, semuanya sudah mengenali kek red velvet air tangan Chef Izzul. Lantas, bekas pelanggan Aireen merekomenkan kek Red Velvet Chef Izzul kepada bakal-bakal pelanggan Aireen. Aireen sendiri tidak pernah bersemuka dengan Chef Izzul yang dikatakan pandai buat Red Velvet itu.

Maka suatu hari, Aireen berjumpa dengan Chef Izzul di kedai keknya yang bernama Lavender Bakeri. Tetapi pertemuan pertama mereka sangatlah tidak semanis red velvet berikutan sikap Aireen yang cerewet ketika itu. Aireen cerewet pun sebab pelanggan Aireen, Cik Maria itu yang cerewet. Cik Maria betul-betul tegas dengan perancangan perkahwinannya. Aireen yang mengatakan bahawa Chef Izzul tidak menepati masa temu janji mereka membuatkan pembantu-pembantu Chef Izzul geram. Oh ya, pembantu-pembantu Chef Izzul iaitu Reena dan Dahlia pun tergedik-gedik dengan Chef Izzul, jadi jika ada sesiapa yang sampai hati menjatuhkan kredibiliti Chef Izzul, maka Reena dan Dahlia menjadi back-up Chef Izzul.



Apa yang membuatkan Aireen dan Izzul sweet seperti Red Velvet dalam cerita ini adalah apabila Aireen tersilap tarikh tempahan kek Cik Maria. Kelam-kabut Aireen mahu jumpa dengan Izzul yang baru mahu pulang pada waktu petang di Lavender Bakeri itu. Tetapi Aireen tetap paksa juga Izzul untuk buatkan Red Velvet itu walaupun Izzul sudah penat dan mahu tengok perlawanan bola Manchester United. Red velvet yang sepatutnya dibuat dan dipotong pada hari esok harus disiapkan segera! Jika resepsi perkahwinan Cik Maria tiada Red Velvet seperti yang dijanjikan, rosaklah kerjaya Aireen sebagai perancang perkahwinan!
Moment yang manis itu wujud tatkala Aireen sanggup menemani Chef Izzul untuk buat Red Velvet. Siapa tidak tahu, Aireen gadis yang bekerjaya tinggi itu tidak tahu memasak! Semakin galak Chef Izzul menyakatnya. Namun Aireen tidak ambil hati sangat walau hakikatnya dia selalu marah dengan Chef Izzul, sebab dalam hati ada taman! Di sini juga pembaca akan dikejutkan dengan rahsia Chef Izzul. Mahu tahu apa rahsianya? Saya hanya boleh beri klu lobak sahaja. Rahsia Chef Izzul itulah yang membangkitkan kerjasama Aireen dengan Izzul.

Macam biasa, tanpa konflik, sesuatu cerita itu tidak akan menarik. Tetapi memandangkan konflik dalam cerita ini agak ringan dan mungkin boleh diagak, maka saya tidak mahu beritahu ketegangan novel ini. Kenalah beli dan baca sendiri!

Selepas baca novel ini
Alhamdulillah, dalam masa dua hari sahaja saya berjaya menghadam novel ini. Anda patut baca novel ini dengan keadaan yang santai dan ceria. Sesekali, lagu Kpop perlu dipasang untuk membangkitkan suasana Hallyu itu.

Resipi Red Velvet turut dipaparkan dalam novel ini. Bahasa yang digunakan amat mudah untuk difahami. Sesuai untuk golongan remaja dan dewasa membaca tanpa perlu merujuk kamus dewan. Antara pengajaran paling penting dalam novel ini ialah cinta antara manusia tidak boleh dipaksa. Dalam percintaan, kita perlu ikhlas atas kelebihan dan kekurangan pasangan kita.

Novel ini turut membuatkan saya ketawa terbahak-bahak. Tahniah auntie Lily kerana sekali lagi membuatkan saya terketawa terkekek-kekek membaca novel tulisan auntie!

Namun, kalau asyik dipuji tanpa kritikan tidak seronok pula kan? Ada sesetengah plot yang disampaikan dalam cerita ini tidak dinyatakan latar tempat dengan nyata. Contohnya ketika Izzul dan Aireen melihat bintang di atas langit. Tidak dinyatakan sama ada mereka duduk di kerusi yang mungkin terletak di luar Lavender Bakeri atau mereka baring di atas rumput. Tetapi mungkin auntie Lily ada alasan untuk tidak menyatakan latar tempat dengan jelas demi mengekalkan syariah-compliant novel ini. Dan lagi satu, antagonis dalam cerita ini tidak diberitahu kesudahannya. Mungkin sahaja auntie Lily akan memberi penjelasan kepada antagonis itu dalam sekuel novel ini. Ya, memang ada sambungan.


Itu sahaja ulasan novel kali ini. Jangan lupa ya kawan-kawan, dapatkan novel Awak Semanis Red Velvet ini di pasaran. Anda pasti akan dihidangkan dengan hallyu wave yang memikat hati. Diharapkan agar auntie Lily terus sukses menghasilkan novel yang lebih kreatif dan menambat hati pembaca.

Assalamualaikum, ceria selalu!


1 comment:

Faridzuan said...

Assalamualaikum. Terima kasih banyak-banyak auntie kerana sudi tampal catatan review saya di blog auntie! ^_____^

ShareThis