Wednesday, February 18, 2015

Khotimah, Hadi dan Sekolahnya:))



BERTAHUN sebenarnya saya berusaha takat terdaya membantu. Saya sama rasa tak selesa apabila tahu Hadi tidak bersekolah bertahun-tahun hanya kerana masalah teknikal dan kealpaan orang terdekat. Apa nasib anak ini? Mahu kerja macam mana nanti? Adiknya Nisa bagaimana? Emaknya entah berapa banyak air mata yang tumpah. Hopeless. Tidak berduit, tak ada tempat mengadu. Makan pun sekadarnya. Semua menemui jalan buntu.

Saya disaran Rahana Rahana Mohd Dahari agar rujuk pada Norlina Alawi Original. Sungguh saya segan. Malu rasanya kalau tiba-tiba muncul minta tolong. Waktu ziarah Norlina Alawi - Fan Club Cinta Tanpa Sempadanyang baru terima menantu saya buka cerita. Lina marah saya sebab saya tak rujuk dia awal-awal. Saya kata saya segan. Dan Lina paksa saya selesaikan secepat mungkin.

Lina kata, "Esok kita jumpa Lily. Uruskan semua hal Hadi dan Nisa. Kau berdosa sebab kau tahu anak tu tak bersekolah tapi kau biarkan. Itu fardu kifayah." Saya terpinga-pinga. "Hei, kau baru buat majlis kahwin anak semalam, esok dah nak ke sana? Kau tak penat?" Lina senyum jawab ini tanggungjawab kita dik!

Takdir Allah swt. Laluan Hadi dan Nisa tak mudah. Hari patut kami bertemu, Rahana kematian ibu. Innalillahi... saya sedang memandu menghala ke bilik forensik Hospital Serdang. Ya, dengan che bunga saya dukung ke rumah mayat. Saya berkampung di situ bersama Norlina, Hadi serta ibunya untuk menemankan Rahana. Kami singgah ke rumah kakak Rahana, hentian terakhir arwah bonda Rahana. Kemudian kami mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Salak South. Saya segerombolan bersama che bunga. Hujan lebat, kami lencun.

Bermulalah episod misi nak sekolahkan Hadi dan Nisa. Allahu Akhbar... saya malu dengan Norlina Alawi, Dia sentiasa siap siaga, bantu segalanya. Beri tunjuk ajar. Apalah yang mampu ibu Hadi bayarkan pada Norlina harga masa, bantuan yang diberikan. Norlina sentiasa turun menemankan ibu Hadi sepanjang proses itu,

Bukan mudah prosesnya. Maklum Hadi sudah tertinggal sekolah selama empat tahun. Saya pula mengheret che bunga ke mana saja. Ke Hospital Seremban dua kali untuk dapatkan dokumen pengesahan Hadi lahir. Allah... saya cepat hilang sabar sebab harus membawa che bunga, jadi supir, urus rumah dan malam sampai subuh saya harus menaip. Norlina Alawi banyak beri semangat.

Lily, ini Allah bagi kau peluang cari pahala. Selama ni semua orang biarkan anak-anak ni. Kau usaha sampai dapat bebudak ni sekolah, dik! Itu kata Norlina.

Saya sekadar jiran jauh Khotimah yang awalnya hampir putus asa juga menolong. Usaha semua tak berjaya. Semua menemui jalan buntu. Ada masa Khotimah dimarah ditengking mereka yang berurusan dengannya. Saya pula yang tumpang stress. Kemudian perlahan-lahan saya pujuk hati, lupakan ajelah. Mustahil nak bantu sebab semua dah dicuba. 

Serahkan aje nasib Hadi dan Nisa pada takdir. Tapi ya... tiap kali berbual pasal anak anak ini, Khotimah menangis dan saya pula yang rasa sakit kepala memikirkannya di malam hari. Sehinggalah saya membuka mulut pada Norlina Alawi Original. Tanpa bantuan Norlina Alawi Original, memang mustahil Hadi dan Nisa dapat semua dokumen untuk ke sekolah. Pujian-pujian hanya untuk Allah swt. Syukur sesangat saya dipermudahkan urusan dengan manusia yang kaya kasih sayang seperti Norlina Alawi Original

Saya kekadang berasa segan dan malu bila Norlina ke sana ke mari, membantu tanpa sebarang keluhan, tanpa sebarang bayaran, semuanya dengan senyum dan keceriaan. Mudah-mudahan Allah swt memberkati hidup Norlina Alawi Original dan Rahana Mohd Dahari. Saya juga bersyukur sebab diberi Allah swt, Che bunga yang tak meragam setiap kali dibawa ke sana ke mari. Ya, ada waktu che bunga terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta untuk beberapa urusan yang tidak sesuai saya bawanya ke bangunan pentadbiran.

Dan Jumaat lallu... berlinang air mata si Khotimah, ibu Hadi dan Nisa bila urusan anak-anak ini selamat. Dokumen semua di tangan. Saya harus sambung misi untuk bawa mereka ke sekolah, ke PPD dan paling penting misi ajar Hadi. Saya sudah pesan sama Hadi. Achik Lily garang. Tahan telinga, tahan diri kalau achik ajar buku sekolah. Nak pandai kena tahan dimarah. Kena tahan dilatih tubi. Ingat kamu bertahun tak sekolah. Emak kamu sampai pitam dan rebah fikirkan kamu. Kamu harus belajar. Acik lily mau kamu pandai macam orang lain. Jangan susahkan cikgu di sekolah.

Buat sahabat fb yang tahu kisah Hadi, terima kasih atas doa. Alhamdulillah, kes anak ini selesai:)) Buat Norlina Alawi, Rahana Dahari, Allah swt saja yang balas budi baik dan kasih sayang kalian. Dan sungguh! Saya masih lagi hilang kata, tak terbayang pula saya akhirnya kes ini selesai. Selama ini semuanya terasa amat sukar. Dan, kata Norlina, baru kau tahu kan lily... nikmat kerja kemanusiaan ni begini....


++++++++++++++

Hadi senyum dan angguk aje bila Achik Lily kata harus praktis menulis laju dan lancar mengeja sampai jam sebelas malam. Anak yang baik ni memang mengikut kata:))







No comments:

ShareThis